Jerebu: Lebih banyak sekolah ditutup di Sarawak

Rudi Affendi Khalik
September 19, 2019 05:01 MYT
Pada jam 4 pagi ini, bacaan IPU di Sri Aman dicatatkan pada 273. Astro AWANI
Sebanyak 1,307 buah sekolah, iaitu 136 sekolah menengah dan 901 sekolah rendah, diarah tutup hari ini susulan jerebu yang melanda negeri ini berada pada tahap tidak sihat.
Semua sekolah ini berada dalam kawasan 20 Pejabat Pendidikan Daerah yang melibatkan 325,391 pelajar, menurut Jabatan Pendidikan Negeri dalam satu kenyataan malam tadi.
Sehingga jam 12 tengah malam tadi, Kuching merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 260; Samarahan 222; Sri Aman 236; Sarikei 241 dan Sibu 231.
Pada Jumaat, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Douglas Uggah Embas akan berkunjung ke Pangkalan Udara Kuching bagi menyaksikan sendiri aktiviti pembenihan awan, yang menggunakan pesawat Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia.
Pesawat dijangka memulakan penerbangan sekitar jam 12 tengah hari.
Sementara itu, solat sunat Istisqa' (sembahyang minta hujan) iaitu salah satu ikhtiar untuk berhadapan musibah ini akan diadakan di masjid-masjid di Bahagian Kuching pada Selasa depan.
Pelaksanaannya adalah atas inisiatif Majlis Islam Sarawak.
#Douglas Uggah Embas #hujan #Jabatan Pendidikan Negeri #jerebu #Kuching #masjid #pelajar #pembenihan awan #pesawat Hercules #Sarawak #sekolah #sekolah tutup #Sibu #solat Istisqa' #Sri Aman #tutup sekolah
;