Jerebu: Larian Bursa, sambutan Hari Malaysia antara 5 aktiviti luar yang terjejas

Isabelle Leong
September 11, 2019 09:50 MYT
Berdasarkan data daripada Pusat Meteorologi Khas Asean, keadaan berjerebu di Malaysia dijangka akan bertambah buruk susulan penambahan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. --fotoBERNAMA/Fail
Isu jerebu di negara ini seolah-olahnya tidak berkesudahan dan kualiti udara semakin merosot.
Berdasarkan data daripada Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC), keadaan berjerebu di Malaysia dijangka akan bertambah buruk susulan penambahan titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Dan tentunya beberapa acara yang dijadualkan berlangsung, terutamanya yang dianjurkan di tempat terbuka terjejas.
Kayuhan Berbasikal Maal Hijrah 2019
Antara aktiviti yang terpaksa dibatalkan adalah ‘Kayuhan Berbasikal Maal Hijrah 2019’ hasil anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang sepatutnya berlangsung pada 8 September lalu.
Larian ‘Stop The Stigma’
Turut dibatalkan pada hari yang sama adalah larian ‘Stop The Stigma’ berikutan ibu negeri Sarawak itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.
Larian empat kilometer (km) dan 12km anjuran Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mempromosikan dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental tidak dapat diadakan.
Larian Bursa Bull Charge
Terbaharu, Bursa Malaysia mengumumkan penundaan Larian Bursa Bull Charge yang sepatutnya diadakan pada Khamis ini (12 September) disebabkan keadaan jerebu.
Bursa Malaysia yang juga dikenali sebagai ‘The Exchange’ dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil keputusan sedemikian kerana menitik beratkan keselamatan dan kesihatan peserta yang mengambil bahagian.
“Kami akan memaklumkan peserta sebaik sahaja kami mempunyai tarikh baharu.
“Kami berharap peserta, penaja dan rakan niaga kami memahami situasi ini dan kami meminta maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sambutan Hari Malaysia di Kuching
Sementara itu, berbaki lagi lima hari sebelum sambutan Hari Malaysia 2019.
Pada tahun ini, ‘Bumi Kenyalang’ dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Padang Merdeka Kuching.
Keadaan cuaca yang tidak memuaskan serta jerebu mungkin akan menjejaskan perancangan sambutan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan negeri mempunyai pelan alternatif jika keadaan tersebut memburuk.
“Kami akan melihat keadaan (jerebu). Pada masa yang sama, kami juga ada pelan alternatif sekiranya keadaan jerebu ini berterusan,” katanya selepas Majlis Jamuan Teh sempena Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Serian.
Beliau tidak memberikan perincian mengenai pelan alternatif tersebut.
BACA: Hujan kurangkan jerebu di Sarawak
Perlumbaan Spartan Race ditangguh?
Dalam pada itu, acara perlumbaan berhalangan Spartan Race yang akan berlangsung buat julung kalinya di Sarawak juga dikhuatiri akan ditunda.
Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meluahkan kebimbangannya kerana 60 peratus daripada 2,600 peserta yang sudah berdaftar merupakan peserta asing.
“Saya tidak fikir mereka suka untuk melihat jerebu, mereka datang ke sini untuk berlumba dalam persekitaran yang baik," kata Abdul Karim ketika berucap pada penutupan Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2019 di Kuching pada Selasa.
Perlumbaan berhalangan yang terbesar di dunia tersebut bakal berlangsung pada pertengahan Oktober depan.
Namun, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), cuaca berjerebu dalam negara berpotensi berlaku sehingga penghujung bulan ini atau awal Oktober.
Oleh itu, Spartan Race mungkin dapat berlangsung seperti dirancang pada tarikh yang ditetapkan iaitu pada 19 dan 20 Oktober.
Setakat jam 9 pagi, Rompin, Pahang mencecah bacaan IPU sancta tidak sihat apabila mencatat bacaan 228.
Rompin merupakan satu-satunya kawasan yang mencecah bacaan melebihi 201.
Beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak turut mencatat IPU yang tidak sihat iaitu bacaan antara 101 hingga 200.
#ASMC #jerebu #Kayuhan Berbasikal Maal Hijrah 2019 #Larian Bursa Bull Challenge #pelan alternatif #Pusat Meteorologi Khas Asean #Sambutan Hari Malaysia di Kuching #spartan race #terjejas
;