Jerebu kembali, Banting catat IPU tidak sihat
Astro Awani
Oktober 12, 2015 10:19 MYT
Oktober 12, 2015 10:19 MYT
Selepas reda hampir seminggu, jerebu kembali melanda negara.
Pencerapan Jabatan Alam sekitar mendapati, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan menunjukkan peningkatan.
Sehingga jam sembilan pagi, Banting, Selangor mencatat IPU tidak sihat dengan bacaan (104).
Sejumlah 40 kawasan lain mencatat bacaan IPU sederhana dengan bacaan tertinggi direkod di Putrajaya (98), Nilai, Negeri Sembilan (92), Port Dickson, Negeri Sembilan (87) dan Cheras, Kuala Lumpur (81).
Sebahagian besar di Sabah dan Sarawak pula mencatat bacaan IPU antara baik dan sederhana.
Jerebu yang disifatkan acara tahunan mula melanda negara September lalu berikutan aktiviti pembakaran hutan untuk tanaman kelapa dan pulpa di beberapa wilayah di Indonesia, antaranya Sumatera, Kalimantan dan Riau.
Selain Malaysia, Singapura dan Thailand turut diselubungi jerebu.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Orang ramai boleh melayari laman web http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk maklumat lanjut berhubung bacaan IPU semasa.