Jerebu: Indonesia perlu beri pampasan kepada Malaysia

Bernama
Oktober 5, 2015 08:55 MYT
CHEW: Saya fikir kita perlu meminta mereka (kerajaan Indonesia) memberi pampasan. Bagaimanapun, kos kerugian sebenarnya sukar ditafsirkan. - Foto AWANI / SHAHIR OMAR
Kerajaan Malaysia wajar menuntut pampasan daripada kerajaan Indonesia terhadap kerugian yang dialami oleh sektor perniagaan dan pelancongan akibat masalah jerebu yang melanda negara ini.
Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata saban tahun Malaysia menghadapi masalah jerebu yang berpunca dari Indonesia dan sehingga kini masalah itu masih belum berjaya diselesaikan.
Katanya keadaan udara yang kembali berjerebu setiap tahun menyebabkan perniagaan oleh penjaja merosot sehingga 30 peratus, kos perubatan meningkat serta sekolah terpaksa ditutup dan jumlah kedatangan pelancong menurun.
"Saya fikir kita perlu meminta mereka (kerajaan Indonesia) memberi pampasan. Bagaimanapun, kos kerugian sebenarnya sukar ditafsirkan," katanya.
Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata demikian kepada pemberita pada majlis perhimpunan pesta kuih bulan/tanglung di sini, malam ini.
Jerebu sekali lagi 'menyelubungi' dan mencemari ruang udara Malaysia dan Singapura, berikutan aktiviti pembakaran hutan untuk tanaman kelapa dan pulpa di beberapa wilayah di Indonesia, antaranya Sumatera, Kalimantan dan Riau.
#Chew Mei Fun #Indonesia #jerebu #kerugian #pampasan #pelancongan #Sektor Perniagaan
;