Jerebu dijangka pulih November ini - Jabatan Meteorologi

Bernama
Oktober 23, 2015 22:22 MYT
CHE GAYAH: Mulai November, kita akan mengalami angin monsun timur laut...ini bermakna angin dari Laut China Selatan tidak akan bawa jerebu dari Indonesia dan pada waktu itu negara akan bebas daripada jerebu. - Gambar Fail
Masalah jerebu yang melanda negara dijangka berakhir November ini berikutan ketibaan angin monsun dari arah timur laut yang akan menolak udara tercemar ke selatan wilayah Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata monsun timur laut dijangka bermula pada minggu pertama atau kedua November dan akan berakhir pada minggu kedua Mac 2016.
"Mulai November, kita akan mengalami angin monsun timur laut...ini bermakna angin dari Laut China Selatan tidak akan bawa jerebu dari Indonesia dan pada waktu itu negara akan bebas daripada jerebu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi pembenihan awan oleh Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (Mosti) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, hari ini.
Berkenaan operasi pembenihan awan (OPA), beliau berkata Mosti melaksanakan 29 OPA bagi mengurangkan kesan jerebu sejak Mac lepas.
Jelasnya, operasi itu akan diteruskan di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi tempoh 72 jam.
"Pembenihan awan telah berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan yang dilanda jerebu teruk termasuklah di Lembah Klang," katanya.
Mengulas lanjut mengenai proses pembenihan awan itu, Che Gayah berkata bahan yang digunakan adalah garam masakan biasa yang dilarutkan bersama air sebelum disembur ke dalam awan.
Katanya, proses tersebut tidak mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatanmanusia ataupun alam sekitar.
"(Berhasil atau tidak) proses (pembenihan awan) bagaimanapun mengambil kira faktor keadaan awan, atmosfera yang sesuai dan stabil serta udara lembap di kawasan sasaran," katanya.
#Che Gayah Ismail #IPU #Jabatan Meteorologi #jerebu
;