Jerebu di Shah Alam turun dari IPU berbahaya ke paras sangat tidak sihat
T K Letchumy Tamboo
Oktober 4, 2015 14:33 MYT
Oktober 4, 2015 14:33 MYT
Situasi jerebu di Shah Alam yang mencapai tahap berbahaya pagi tadi, telah menurun kepada paras sangat tidak sihat setakat 1 petang tadi apabila mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) 266.
Pencerapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 9 pagi menunjukkan Shah Alam merekodkan bacaan tertinggi dengan IPU 308.
Lima lagi kawasan merekodkan IPU sangat tidak sihat dengan bacaan tertinggi dicatat di Batu Muda, Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang, Selangor yang masing-masing mencatatkan bacaan 227, diikuti dengan Petaling Jaya, Selangor (218), Banting, Selangor dan juga Wilayah Persekutuan Putrajaya yang masing-masing mencatatkan bacaan 217.
Dua puluh empat kawasan lain mencatat IPU tidak sihat dengan rekod bacaan tertinggi di SK Jalan Pegoh, Ipoh (193).
Sebahagian besar kawasan di Sabah dan Sarawak pula mencatat IPU sihat dan sederhana.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Orang ramai boleh melayari laman web http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk maklumat lanjut berhubung bacaan IPU semasa.