Jerebu di Pulau Pinang: Dua penerbangan patah balik, satu dilencongkan

Bernama
September 18, 2019 13:53 MYT
Operasi di LTAPP masih berjalan lancar dan tiada penumpang yang terkandas akibat jerebu di Pulau Pinang setakat ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
Dua penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berpatah balik hari ini berikutan jarak penglihatan terhad ekoran jerebu yang semakin teruk di negeri ini.
Pengurus Kanan LTAPP Mohd Nadzim Hashim berkata kedua-dua penerbangan itu masing-masingnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu (LTAK) di Medan, Indonesia.
Menurutnya satu lagi penerbangan dari Singapura ke Pulau Pinang terpaksa dilencongkan ke LTAK sementara penerbangan dari Bangkok ke LTAPP terpaksa ditangguhkan.
"Ketika ini jarak penglihatan yang direkodkan di LTAPP ialah 1,500 hingga 1,700 meter dan setakat ini juga tiada penerbangan yang dibatalkan," katanya ketika dihubungi.
BACA: IPU lepasi 200, semua 51 sekolah Barat Daya Pulau Pinang diarah tutup
Beliau berkata operasi di LTAPP masih berjalan lancar dan tiada penumpang yang terkandas akibat jerebu di Pulau Pinang setakat ini.
Sementara itu, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu kenyataan hari ini berkata aktiviti pengajaran dan pembelajaran di universiti itu ditangguhkan berikutan paras IPU sangat tidak sihat yang dicatatkan di sini.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan operasi harian pejabat USM berjalan seperti biasa manakala aktiviti luar bangunan tidak dibenarkan.
"Semua pelajar dan staf juga diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jerebu USM dan boleh merujuk kepada laman web Pusat Sejahtera USM www.pusatsejahtera.usm.my untuk sebarang maklumat lanjut," katanya.
Katanya talian hotline 04-653 4948 juga dibuka untuk sebarang pertanyaan berkaitan situasi jerebu di USM.
Selain USM, sebanyak 162 sekolah di daerah Barat Daya dan Timur Laut membabitkan 100,233 pelajar sekolah rendah dan menengah di dua daerah berkenaan telah ditutup selepas IPU mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.
-- BERNAMA
#Bangkok #Berpatah Balik #Indonesia #KLIA #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang #lecongan #ltak #LTAPP #Malaysia #penerbangan #penerbangan dari Singapura ke Pulau Pinang #Singapura
;