Jerebu akibat pembakaran terbuka di Sabah semakin membimbangkan - Bomba

Bernama
Mac 14, 2024 23:33 MYT
Farhan berkata meskipun tahap kualiti udara di negeri itu masih tidak berbahaya, penduduk harus menghentikan pembakaran terbuka bagi memastikan kualiti udara bertambah baik. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Keadaan jerebu akibat pembakaran terbuka di negeri ini semakin membimbangkan walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini kebanyakannya pada tahap sihat.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Farhan Sufyan Borhan berkata meskipun tahap kualiti udara di negeri itu masih tidak berbahaya, penduduk harus menghentikan pembakaran terbuka bagi memastikan kualiti udara bertambah baik.
"Jerebu dan kualiti udara kita pada masa ini amat membimbangkan, malah pembakaran terbuka terutama melibatkan hutan dan belukar baru-baru ini lebih teruk berbanding sebelumnya. Kita harapkan kerjasama semua supaya tidak lakukan pembakaran terbuka," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada operasi memadam kebakaran terbuka di Menggatal di sini, yang merupakan kes kebakaran ke-10 dihadapi pasukan itu hari ini.
Semalam, Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda berkata pihaknya merekodkan 961 kes kebakaran terbuka sejak Januari lepas hingga semalam melibatkan kes kebakaran belukar, lalang, kebun, ladang, hutan dan gambut di seluruh Sabah.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, hanya Kimanis di Papar iaitu kira-kira 62 kilometer dari Kota Kinabalu mencatat bacaan IPU 135 iaitu bacaan tidak sihat setakat 8 malam ini, manakala kebanyakan IPU di Sabah berada pada tahap sederhana.
Mengulas mengenai operasi pemadaman itu, Farhan Sufyan berkata pemadaman kebakaran terbuka itu dijalankan di kawasan seluas 8.09 hektar, dan perlu dijalankan dengan kadar tuntas supaya ia tidak merebak ke Sekolah Tunas Bakti juga kawasan perumahan berhampiran.
"Kita juga menggunakan unit dron untuk memantau kebakaran itu dan memastikan api tidak merebak ke kawasan lebih besar," katanya.
-- BERNAMA
#JBPM #laman sesawang #kebakaran #kawasan perumahan
;