Jerebu: 8,000 nelayan di Perak terjejas, tidak turun ke laut

Abd Razak Mohd Ali
September 18, 2019 00:46 MYT
Nelayan yang ingin ke laut ketika ini dinasihatkan supaya menangkap ikan berhampiran kawasan pantai dan turun secara berkumpulan. - Foto: Facebook @Seladang PERAK
Kira-kira 8,000 nelayan di Perak terjejas akibat masalah jerebu yang melanda di seluruh negara pada masa ini.
Exco Pertanian dan Peladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) nelayan pantai di sekitar Pangkor, Manjung, Bagan Panchor dan Bagan Datuk tidak turun ke laut menangkap ikan sejak beberapa hari lalu.
Beliau menasihatkan nelayan yang ingin ke laut ketika ini supaya menangkap ikan berhampiran kawasan pantai dan turun secara berkumpulan.
“Mereka juga dinasihatkan supaya memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan terutama bagi yang mengidap asma,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, kebanyakan nelayan pantai tidak dapat turun ke laut akibat jarak pandangan yang terhad selain tidak dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS).
“Selain kesukaran nelayan untuk mencari arah, keadaan jerebu ini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di laut serta kerosakan peralatan terutama pukat hanyut yang mungkin dilanggar oleh bot nelayan lain,” ujarnya.
#jerebu #Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #LKIM #manjung #nelayan di Perak #Pangkor
;