Jerebu: 648 sekolah di empat negeri ditutup hari ini
Bernama
September 17, 2019 17:03 MYT
September 17, 2019 17:03 MYT
Sebanyak 648 buah sekolah ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kata Kementerian Pendidikan (KPM).
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, 636 sekolah adalah sekolah kerajaan di Sarawak (298), Selangor (201), Putrajaya (25) dan Negeri Sembilan (112) yang membabitkan keseluruhan pelajar seramai 445,249 orang.
Sebanyak 12 buah sekolah swasta juga ditutup membabitkan 7,432 orang pelajar, menurut KPM.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Sementara itu, keadaan jerebu yang semakin teruk di Lumut menyebabkan kebanyakan ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah atau tadika biarpun tiada arahan penutupan sekolah pagi tadi.
Norlia Osman, 49 tahun, berkata dia tidak menghantar anaknya, Siti Umaira Mokhtar, 6, ke prasekolah pagi tadi berikutan keadaan jerebu yang teruk.
"Saya kemudian melihat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi sehingga hampir 200 (pagi tadi) dan saya dan suami mengambil keputusan tidak menghantar anak hari ini kerana risau tahap kesihatannya akan terjejas," katanya.
Sehubungan itu, Norlis berharap agar Kementerian Pendidikan mengambil perhatian mengenai isu jerebu di daerah tersebut kerana ibu bapa semakin bimbang dengan kesihatan anak masing-masing.
Dalam pada itu, Nur Fatiha Mohd Ramlan, 28 tahun, berkata dia dan suami tidak menghantar anak mereka Furqan Mohd Fikri, 5 tahun, ke Tadika pagi tadi dan mungkin sehingga esok sekiranya keadaan jerebu masih tidak pulih.
"Saya juga dinasihati guru tadika untuk tidak menghantar anak sekiranya keadaan jerebu semakin teruk kerana risau kanak-kanak mudah terkena penyakit," katanya.
-- BERNAMA