Jerayawara jelaskan pencapaian pendidikan negara bulan depan - Idris

Bernama
Julai 20, 2015 10:59 MYT
IDRIS: Yakin dengan pendidikan melalui hebahan itu, rakyat akan mendapat gambaran jelas tentang hala tuju sistem pendidikan negara menjelang tahun 2020. - Gambar Fail
Kementerian Pendidikan akan membuat jerayawara atau 'road show' secara besar-besaran untuk menjelaskan tentang tahap pencapaian sistem pendidikan negara bermula bulan depan.
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata hebahan itu penting agar rakyat mendapat gambaran tentang mutu pendidikan negara sejak kementerian melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
"Perubahan dalam pencapaian sistem pendidikan negara tidak ramai yang mengetahuinya, oleh itu kementerian mengambil langkah mengadakan hebahan dengan pergi ke setiap negeri bagi memberikan penjelasan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong di sini hari ini.
Kira-kira 20,000 penduduk Besut memeriahkan majlis yang turut disertai para pemimpin tempatan, ketua-ketua jabatan, penduduk kampung dan perantau yang pulang berhari raya.
Idris berkata beliau yakin dengan pendedahan melalui hebahan itu, rakyat akan mendapat gambaran jelas tentang hala tuju sistem pendidikan negara menjelang tahun 2020.
#Idris Jusoh #jerayawara #Kementerian Pendidikan #Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
;