Jerami Gulung KKDK bakal kembali 'viral' mulai esok
Abd Hadi Che Awang
Januari 31, 2022 18:25 MYT
Januari 31, 2022 18:25 MYT
YAN: Berlatar belakang kawasan sawah padi yang luas terbentang serta keindahan pemandangan Gunung Jerai sudah semestinya menjadikan kawasan Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan sebagai satu lokasi wajib kunjung dalam kalangan penggemar fotografi dan juga orang ramai.
Ditambah pula dengan inisiatif penduduk tempatan untuk menempatkan lebih 30 gulungan jerami padi di kawasan petak sawah seluas 1.1 hektar menjadi satu daya tarikan baharu untuk orang ramai berkunjung ke situ.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Dulang Kecil, Ismail Md Zain, berkata, inisiatif meletakkan gulungan jerami itu bermula sejak tahun 2020 namun terpaksa dihentikan tahun lalu susulan penularan wabak COVID-19.
Usaha itu, menurutnya, bukan sahaja mampu memperkenalkan Kampung Kuala Dulang Kecil ke peringkat lebih tinggi, malah menjadi platform untuk penduduk setempat menambahkan pendapatan.
"Permulaannya, kita buat (jerami gulung itu) sekadar untuk orang kampung sahaja, selepas itu apabila viral, sampai satu Malaysia depa mai (ke sini),
"(Walaupun) tahun 2021 (kita) tidak buat (jerami gulung ini) disebabkan COVID-19, tadi walaupun dalam fasa sedang mengatur (dan menyusun blok-blok jerami gulung, ada individu yang datang dari Alor Setar, Pulau Pinang (walaupun) kita tidak mula lagi… Insya-Allah kita akan mula 1 Februari dan berakhir dalam 15 Mac.
"Inisitif ini adalah satu platform yang beri keutamaan kepada penduduk kampung, mereka boleh berniaga macam-macam, jadi (boleh) tambah pendapatan penduduk," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Ismail turut menyatakan rasa gembira dengan kerja-kerja yang dilakukan kumpulan remaja dan belia di kampung berkenaan dalam menjayakan usaha yang dirancang.
Jelas Ismail, kebanyakan mereka akan melakukan tugas untuk menyusun pelan dan tata letak jerami gulung meskipun terpaksa 'bekerja' sehingga ke awal pagi
"Kalau ketua kampung buat seorang memang tidak boleh… (usaha ini) atas kerjasama belia-belia kampung bukan pada waktu siang saja depa (mereka) pulun (buat kerja), (malah waktu) malam juga sampai pukul 1 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, bagi penduduk kampung, Senawi Pengeran pula, dia akan menambahbaik susun atur jerami gulung selain menambahkan pusat-pusat tumpuan untuk bergambar
Katanya, selain daripada itu, beberapa aktiviti lain turut akan dijalankan di di kawasan jerami gulung berkenaan seperti menunggang kuda dan perkhidmatan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV).
"Kita akan cuba buat yang lebih baik dari musim pertama untuk tarik pelancong, pengemar seni panorama,” kata Senawi.