Jepun anggap Malaysia sebagai pemain utama dalam transformasi hijau, pelaburan data
Bernama
Disember 10, 2024 17:31 MYT
Disember 10, 2024 17:31 MYT
KUALA LUMPUR: Jepun melihat Malaysia sebagai pemain utama dalam memajukan transformasi hijaunya dan muncul sebagai hab utama bagi pelaburan pusat data, kata Duta Jepun ke Malaysia yang baru dilantik, Noriyuki Shikata.
Beliau menggariskan kepentingan yang semakin meningkat bagi tenaga hidrogen dan penyelesaian pengangkutan mampan dalam memacu transformasi hijau, sambil turut menunjukkan kedudukan strategik Malaysia dalam ekonomi digital.
“Terdapat sumber tenaga untuk transformasi hijau. Sudah tentu, reka bentuk ini sangat bergantung pada peranan manusia dalam menggunakan teknologi semasa, termasuk hidrogen dan cara kami menguruskan pengangkutan,” katanya.
Shikata berkata demikian semasa forum bertajuk "Japan’s Foreign Policy Evolution, Global South Aspirations and Malaysia’s Perspective" yang diadakan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, di sini pada Selasa.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Malaysia juga pantas menjadi peneraju serantau dalam pelaburan pusat data, menarik minat syarikat-syarikat besar dari seluruh dunia.
"Dari segi pelaburan, terdapat minat yang semakin meningkat dalam sektor data.
"Malaysia akan menjadi tumpuan pusat data terbesar di rantau ini, dan kami melihat pelaburan dari Amerika Syarikat (AS), Jepun, Jerman, Taiwan, Korea Selatan dan juga syarikat China," katanya.
Forum anjuran ISIS Malaysia itu turut dihadiri Pengerusi ISIS Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Institut Penyelidikan Jepun bagi Hal Ehwal Indo-Pasifik (RIIPA) Prof Tosh Minohara dan Pro-Canselor HELP University Dr Zakaria Ahmad.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Shikata berkata Jepun memberi penekanan besar terhadap usaha memupuk kerjasama dengan negara-negara Selatan Global, termasuk Malaysia, bagi menggalakkan orde antarabangsa yang bebas dan terbuka, berasaskan kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap maruah manusia.
Sementara itu, Mohd Faiz berkata Malaysia dan Jepun perlu mengukuhkan kerjasama erat serta saling menghormati untuk mengharungi cabaran global yang mengancam keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
“Adalah penting bagi kedua-dua negara untuk kembali kepada kerjasama erat, saling menghormati dan hubungan persahabatan yang mesra yang telah terjalin selama beberapa dekad.
“Hubungan dua hala kita, yang bermula dengan kerjasama ekonomi erat telah berkembang merangkumi hubungan antara rakyat dan, baru-baru ini, hubungan yang lebih kukuh dalam bidang pertahanan dan keselamatan,” katanya.
-- BERNAMA