Jentera BN digesa lebih mantap untuk menawan Sungai Limau

Astro Awani
Oktober 26, 2013 21:18 MYT
Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional digesa perlu dimantapkan lagi dalam usaha untuk menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam Pilihan Raya Kecil pada 4 Nov nanti.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemantapan ini perlu agar penduduk di kawasan ini dapat melihat dan memahami aspirasi yang dibawakan oleh parti itu.
“Kita sedar kawasan ini sudah dikuasai oleh PAS sejak lima penggal yang lalu tetapi bagi saya tidak ada yang mustahil jika kita betul-betul merancang strategi dan perancangan yang berkesan dan pengundi disini pun boleh bersedia untuk membuat perubahan,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan di Kompleks Pertubuhan Peladang di Bukit Besar disini tadi.
Menurut beliau lagi, fokus utama adalah pengundi dikawasan tersebut terhadap kempen-kempen yang dibawakan oleh BN agar penduduk disini akan dapat manfaat dengan apa yang telah diberikan sepanjang kempen tersebut.
Proses pembuangan undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau akan diadakan pada 4 November dan menyaksikan calon BN diwakili oleh Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52 akan ditentang oleh calon PAS, Mohd Azam Samat, 37.
PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu akibat komplikasi jantung.
Allahyarham Tan Sri Azizan telah menajdi wakil rakyat dikawasan tersebut selama lima penggal sejak 1995.
#Barisan Nasional #jentera #Muhyiddin Yassin #sg limau
;