Jengkaut terbalik, dua pekerja warga Bangladesh maut
Abd Razak Mohd Ali
April 5, 2023 06:50 MYT
April 5, 2023 06:50 MYT
IPOH: Dua pekerja warganegara Bangladesh maut selepas terperangkap di bawah jengkaut yang terbalik di sebuah kuari di Simpang Pulai, dekat sini, malam tadi.
Kedua-dua lelaki yang berumur antara 30 dan 40-an itu disahkan maut di lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sapri Yeop Mohammad berkata, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.17 malam.
Menurutnya, jengkaut dipercayai terbalik semasa mangsa sedang melakukan kerja-kerja di kuari berkenaan.
“Pasukan bomba yang tiba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dengan bantuan jengkaut pihak kilang tersebut,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Menurutnya lagi, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat tamat pada jam 9.55 malam.