#JendelaRamadan: Tips pilih makanan sihat di bazar Ramadan

Harits Asyraf Hasnan
Jun 28, 2015 15:33 MYT
Bazar Ramadan yang menawarkan ratusan gerai pastinya menggamit nafsu.
Sibuk bekerja dan tiada masa untuk memasak. Itu antara alasan mereka yang memilih bazar Ramadan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan juadah berbuka.
Bazar Ramadan yang menawarkan ratusan gerai seperti di Taman Tun Dr Ismail, Jalan Telawi hingga ke Putrajaya pastinya menggamit nafsu anda.
Selain isu kualiti serta kebersihan makanan, persoalan yang sering timbul adalah bagaimana hendak memastikan makanan yang dibeli itu penuh zat dan nutrien pada masa sama berkhasiat.
'Pilih dengan bijak'
Menurut Pensyarah Bahagian Nutrisi dan Dietitik, International Medical University, Jamilah Abd Jamil, perancangan menu sebelum ke bazar Ramadan adalah penting di mana ia dilihat sebagai fokus dalam membantu membuat pilihan makanan pada masa sama membantu menangani pembaziran.
“Seandainya hari ini nak makan nasi, jadi boleh cuba fikirkanlah apa pilihan yang ada di bazar Ramadan.
“Contohnya, antara nasi minyak dan nasi kerabu, mana satu yang lebih sihat? Kita akan pilih nasi kerabu.
“Sebab nasi kerabu banyak sayur. Lepas itu ada ikan. Kalau nasi minyak tu lebih kalori dan lebih lemak,” ujarnya.
Tegas Jamilah, kesihatan adalah satu pelaburan. Justeru, setiap individu terutama ibu bapa perlu membuat keputusan bijak terutama soal makanan anak-anak.
“Jadi mungkin dari segi kekerapan (ke bazar) kita boleh kurangkan dan pada hujung minggu kita masak di rumah sebab bila kita masak di rumah kita tahu apa yang kita letak ke dalam makanan kita,” katanya.
Gula, Telur, Santan, Tepung & Bergoreng
Pelbagai juadah terutama kuih muih yang sukar didapati sebelum ini biasanya terhidang pada bulan Ramadan. Justeru, kurangkan membeli kuih muih yang mempunyai kandungan gula yang tinggi, santan malah yang bergoreng.
“Biasalah, bila kita lapar, kita seronok pilih makanan, kita rambang mata. Bukan tak boleh langsung makan tapi saiz hidangan yang kita makan itu perlu dijaga.
“Dari segi air, yang terbaik adalah air masak. Bukan sahaja ia sifar kalori, tapi saya rasa dari segi kos pun kita tak perlu untuk beli minuman yang biasanya kita beli dua atau tiga jenis biasanya,” jelas Jamilah.
Ikuti paparan Ramadan Awani yang disediakan Haritz Asyraf Hasnan untuk melihat apa lagi tips yang akan membantu anda ketika membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan.
##JendelaRamadan #Bazar Ramadan #berkhasiat #makanan #Ramadan #Tips
;