Jendela Ramadan: Jadikan Ramadan bulan berkasih sayang - Mufti
Huzaifah Abd Jamil
Jun 17, 2015 14:20 MYT
Jun 17, 2015 14:20 MYT
Umat Islam dinasihatkan agar menanam azam yang tinggi untuk bersama-sama melakukan aktiviti yang mendatangkan kebaikan sejagat sempena bulan Ramadan 1436 hijrah.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam masa sama turut mengajak umat Islam untuk menginsafi diri sempena bulan yang mulia ini.
“Saya yang pertama sekali mengajak kita semua supaya sentiasa menginsafi diri sebagai hamba Allah, dan kita mahu apa yang Allah janjikan kepada kita supaya kita laksanakan ibadah puasa dengan sebaiknya untuk mendapat ketakwaan.
“Jadi kita berusaha ke arah ketakwaan melalui beramal dengan amalan soleh, beriman, bertakwa kepada Allah, takut kepada Allah dengan sebenar-benarnya, akhirnya natijah tersebut kita perolehi dan kita akan dikurniakan banyak kelebihan di dunia dan akhirat,” jelasnya ketika selesai mencerap anak bulan di Menara Kuala Lumpur tepat jam 7.10 malam tadi.
Sejumlah lapan wakil bertauliah dari beberapa jabatan dilantik menjadi ahli jawatankuasa cerap anak bulan di Menara Kuala Lumpur, termasuklah daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Dalam pada itu, Zulkifli menjelaskan, Ramadan tidak menegah masyarakat malaysia yang berbilang kaum untuk saling membantu antara satu sama lain.
“Kita cuba menjadikan Ramadan sebagai bulan perpaduan, bulan menambah ukhuwah islamiyah, bulan menghormati antara satu sama lain, bulan pengorbanan dan sentiasa membantu antara sesama rakyat Malaysia.
“Yang berada dalam keadaan kurang selesa, maka yang selesa membantunya, yang kurang berada (maka) yang diberi rezeki oleh Allah akan membantunya.
“Kalau ini kita dapat pupuk insya-Allah kita akan jadi umat yang terbaik,” ujarnya.
Umat Islam di Malaysia bakal menyambut Ramadan pada Khamis ini melalui satu pengumuman yang dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada malam Selasa.
Majlis raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan Ramadan adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).