Jendela Ramadan: Ikan masin, telur masin pembuka selera bulan
Astro Awani
Jun 17, 2015 15:08 MYT
Jun 17, 2015 15:08 MYT
Bulan Ramadan Al-Mubarak bakal disambut pada Khamis ini.
Namun segala persiapan untuk menyambut bulan mulia ini amat dinantikan seluruh umat Islam sebaik penghujung bulan Syaban bagi mempertingkatkan lagi amalan serta amal ibadah mengikut syariat Islam.
Di Kedah, Pasar Besar Alor Setar menjadi tumpuan di mana makanan kering dan bermasin menjadi pilihan untuk santapan bersahur sekeluarga.
Ini adalah kerana makanan kering ini menjadi pembuka selera sebaik terjaga dari tidur sekaligus dapat meningkatkan jualan peniaga sekali ganda berbanding hari biasa.
Antaranya, ikan talang, tenggiri kering, ikan bilis, telur masin dan lobak masin.
Bagi Mohd Faizal Abdul Hamid, selera makan di bulan Ramadan agak berlainan dan pengambilan makanan berunsur kering menjadi pilihan setiap kali bulan Ramadan tiba.
Peniaga ikan kering, Mohd Osman memberitahu Astro AWANI, antara yang sering menjadi pilihan pelanggan di bulan Ramadan ialah ikan talang dan ikan tenggiri, selain ikan gelama dan ikan otek.
Sekaligus, ini meningkatkan jualan sekali ganda berbanding hari biasa kerana pelanggan ingin mengubah selera mereka pada bulan yang mulia ini.
Seorang lagi peniaga kedai runcit, Azizah Said memberitahu, pelanggan-pelanggannya kebanyakannya gemar membeli telur masin memandangkan hidangan berdaging seperti ayam kurang mendapat tempat di bulan Ramadan.
Selain itu hasil pemerhatian Astro AWANI mendapati harga bahan mentah lain seperti ikan, udang, sotong, ayam, daging serta sayuran masih dijual pada harga biasa dan tiada sebarang kenaikan ketara.
Harga bagi ayam bersih sekitar RM6.90 hingga RM7.80 sekilogram, daging tempatan RM24 hingga RM25 sekilogram, manakala ikan kembong sekitar RM5.00 hingga RM6.50 sekilogram.
Manakala ayam kampung dan itik sekitar RM15 hingga RM16 sekilogram.