Jendela beri peluang belia Sabah jana pendapatan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 17, 2020 22:01 MYT
September 17, 2020 22:01 MYT
Belia Sabah akan mendapat manfaat besar khususnya bagi menjana pendapatan hasil daripada Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, melalui usaha terbaharu kerajaan ini, hasrat membangunkan masyarakat digital di negeri ini akan membuahkan hasil sekali gus bermakna tiada lagi pihak yang ketinggalan.
"Golongan belia adalah kumpulan pengguna kemudahan jalur lebar yang paling aktif. Belia hari ini dilahirkan sebagai warganegara digital. Penggunaan komputer dan telefon pintar menjadi kebiasaan dan keperluan kepada golongan ini untuk berkomunikasi, belajar, bermain dan bekerja.
"Golongan belia juga menjadi harapan kita untuk mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital.
"Oleh itu, golongan ini perlu diberi pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk bereksperimen dengan inovasi dan idea baharu," katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Gerbang Sabah di Kota Kinabalu pada Khamis.
Bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan itu, Muhyiddin berkata kerajaan dan syarikat pemberi perkhidmatan akan menyediakan pakej-pakej khas untuk belia negeri ini.
Katanya, perincian pakej itu yang kosnya lebih rendah dengan terma menarik akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat.
"Semua aspirasi ke arah pembangunan masyarakat digital dan ekonomi digital yang mampan untuk rakyat Sabah bermula di Gerbang Sabah," katanya.
Gerbang Sabah merupakan satu usaha Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam meneruskan komitmennya untuk mendukung pelan tindakan Jendela ke arah mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cepat dan menyeluruh.
Gerbang Sabah di Tanjung Aru menempatkan pusat pendaratan Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM).
#dalam talian
#gerbang sabah
#Internet
#JENDELA
#jurang digital
#membantu belia
#Muhyiddin Yassin
#pekerjaan
#perniagaan
#PRN Sabah