JENDELA beri liputan internet lebih baik buat rakyat luar bandar, pedalaman Sabah - Saifuddin

Bernama
September 6, 2020 04:15 MYT
Saifuddin berkata, semua yang terlibat terutamanya SKMM diharap dapat melipat gandakan usaha dalam masa terdekat. - Gambar fail
Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), bakal memberikan liputan internet yang lebih baik buat rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri Sabah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, langkah itu adalah penting kerana soal akses internet semakin meningkat dengan anak muda, terutamanya mengunakan pelbagai platform digital, selain situasi akibat COVID-19 yang menyebabkan penggunaan internet dalam kalangan rakyat meningkat.
"Ada yang fikir asalnya tahun depan mahu gunakan e-Dagang tetapi dengan COVID-19, sekarang pun sudah mula berjinak-jinak dan mahir, menggunakan platform itu.
"Kita juga sedang menilai semua pusat internet di Sabah di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dan agensi lain kita sudah ada persefahaman untuk mengabungkan pusat internet itu untuk bantu mereka, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia negeri Sabah, di sini pada Ahad.
Saifuddin berkata, semua yang terlibat terutamanya SKMM diharap dapat melipat gandakan usaha dalam masa terdekat, bagi merealisasikan hasrat memberikan perkhidmatan internet lebih baik buat rakyat di negara ini.
Sementara itu beliau mengajak rakyat Malaysia untuk berkongsikan perkara-perkara indah dan menarik, mengenai Hari Malaysia yang jatuh pada 16 Sept ini, menerusi tanda palang atau hashtag, '#momentnegaraku' di media sosial mereka.
"Sangat berharap sambutan ini (Hari Malaysia) kita raikan bersama sebagai rakyat Malaysia...tularkan perkara yang positif sebagai rakyat Malaysia, kita kongsikan bersama," katanya.
Beliau berkata, bersatu dalam kepelbagaian dan hidup aman damai dengan kerukunan tinggi dimiliki rakyat Sabah, merupakan sesuatu yang harus dipelajari semua pihak.
-- BERNAMA
#akses internet #anak muda #bersatu dalam kepelbagaian #COVID-19 #digital #Hari Malaysia #JENDELA #liputan internet #luar bandar #Menteri Komunikasi dan Multimedia #momentnegaraku #pedalaman #Pelan Jalinan Digital Negara #rakyat #Sabah #Saifuddin Abdullah #SKMM
;