JENDELA bantu lancarkan PdPR di pedalaman Selangor
Bernama
Mac 22, 2022 10:06 MYT
Mac 22, 2022 10:06 MYT
SHAH ALAM: Beberapa kawasan pedalaman di Selangor yang sebelum ini berhadapan dengan masalah capaian Internet lemah yang menyebabkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) kerap terganggu, berjaya diatasi selepas kerja penaiktarafan menara komunikasi dan pemasangan akses jalur lebar tanpa wayar melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Selangor Rizal Abd Malek berkata melalui JENDELA, beberapa lokasi struktur menara komunikasi sedia ada di negeri itu telah dinaik taraf daripada teknologi 2G kepada 4G selain pemasangan akses jalur lebar tanpa wayar, supaya masyarakat sekitar mendapat liputan yang lebih baik.
"Pelaksanaan JENDELA di Selangor sudah sampai hampir 100 peratus, malah perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman di negeri ini kini dipertingkat dengan tambahan 17 menara baharu termasuk tujuh di perkampungan Orang Asli.
"Bagi naik taraf yang dilakukan di Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey dekat sini, liputan dan 'kelajuan jalur lebar' di kampung ini telah bertambah dari 10 megabit sesaat (Mbps) meningkat kepada 78 Mbps. Ia sesuatu yang sangat memberangsangkan.
"Dengan adanya penambahbaikan seperti ini, kita dapat merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar. Masalah pembelajaran pelajar di sini juga tidak lagi timbul," katanya kepada Bernama.
Jalinan Digital Negara atau JENDELA adalah sebuah rancangan penyediaan infrastruktur digital yang komprehensif bertujuan untuk memberi perkhidmatan Internet tetap dan mudah alih yang berkualiti kepada pengguna.
Menurut Rizal, terdapat hampir 7,000 struktur menara komunikasi di Selangor setakat ini dengan 13 menara masih dalam pembinaan dan 17 menara akan dibina di kawasan luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli.
"Selain pembinaan menara, kita juga telah membuat pemasangan akses jalur lebar tanpa wayar di lima kawasan perkampungan Orang Asli," katanya.
Bagi pelajar Universiti Malaysia Kelantan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan, Rokna Zaidi, 23, pelaksanaan JENDELA di kawasan penempatannya, di Pulau Carey memudahkan beliau mengikuti kuliah secara dalam talian dengan lancar.
"Kalau dahulu susah sikit, sebab saya perlu ke pekan untuk mendapatkan liputan rangkaian, sekarang duduk di rumah saya boleh mengikuti kelas dengan lancar tanpa tersekat-sekat. Tugasan universiti juga boleh dihantar dengan mudah.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan melalui MCMC kerana menyediakan perkhidmatan ini yang sangat memudahkan urusan masyarakat di sini terutamanya pelajar seperti saya," katanya.
Selain itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Pulau Kempas Raman Pahat menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan dan MCMC kerana menaik taraf menara serta memasang akses jalur lebar tanpa wayar di kampungnya yang membantu melancarkan aktiviti harian penduduk termasuk proses PdPR dan memasarkan produk kraf tangan secara dalam talian.
Raman berkata sebelum ini banyak aduan dan keluhan penduduk kampung mengenai permasalahan untuk mengikuti PdPR kerana ketiadaan liputan rangkaian di kampung tersebut.
"Semasa tiada kemudahan Wi-fi (akses jalur lebar tanpa wayar) anak-anak kampung ini terpaksa ke pekan Banting untuk menghantar tugasan atau membuat kerja sekolah. Jaraknya 10 kilometer dari kampung ini, risau kalau terjadi perkara yang tidak diingini.
"Sekarang saya nampak selepas pemasangan Wi-fi, ramai datang ke sini (dewan yang menempatkan pencawang Internet) membawa anak-anak membuat tugasan dan kerja sekolah. Selain itu, penduduk kampung juga dilihat telah mula berniaga secara dalam talian bagi memasarkan produk kraftangan masing-masing.
MCMC-JENDELA (SELANGOR) 4 (AKHIR) SHAH ALAM
"Orang kampung sini juga suka membeli secara dalam talian, dengan adanya Wi-fi ini, ia memudahkan mereka untuk berbelanja dan membeli barangan keperluan," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar yang juga merupakan pelanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia, Muhd Syahmy Izam Zamzuri, 16, berkata dengan bayaran serendah RM30, beliau boleh melayari Internet asas tanpa had seperti membuat carian maklumat dan memuat turun video.
"Sejak COVID-19 melanda dunia termasuk Malaysia, sesi pembelajaran sekolah juga terjejas. Maka sesi pembelajaran diadakan secara maya yang memerlukan penggunaan peranti dengan akses Internet.
"Oleh itu, menjadi satu keperluan untuk mempunyai peranti dengan akses Internet yang tidak membebankan ibu bapa. Selepas pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengenai pakej tersebut, ibu bapa saya cadangkan untuk langgan pakej ini memandangkan ia sangat bertepatan dengan keperluan saya dan sangat berbaloi," katanya.
Muhd Syahmy turut berharap agar kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada pelajar sepertinya, memandangkan Internet pada masa ini merupakan satu keperluan penting.
Pakej Remaja Keluarga Malaysia adalah sebuah pakej prabayar baharu khusus bagi membantu golongn remaja dan pelajar memperoleh akses Internet untuk pembelajaran dalam talian tanpa sebarang kekangan data di samping meningkatkan produktiviti.
-- BERNAMA