Jenazah Zahalita berjaya dibawa keluar dari Gunung Reskit
Sinar Harian
Februari 8, 2024 12:30 MYT
Februari 8, 2024 12:30 MYT
JERANTUT: Jenazah pendaki wanita, Zahalitha Othman, 53, yang sebelum ini terkandas di Gunung Reskit, Kuala Tahan berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter MI - 171 Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi menyelamat hari ketiga.
Mangsa yang meninggal dunia akibat sesak nafas selamat tiba di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Lipis kira-kira jam 9 pagi, hari ini.
Timbalan Komander Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM Subang, Penguasa Bomba Kanan 1 Mohd Ruzaidi Ramlee berkata, seramai 14 kru penyelamat terdiri daripada anggota bomba dan pasukan Pusat Mencari dan Menyelamat Gunung Tahan (MOSAR) terlibat dalam operasi membawa keluar jenazah pada awal pagi.
"Kita menurunkan dua anggota penyelamat bagi membantu membawa naik mayat mangsa dengan menggunakan pengusung.
"Cuaca hari ini cukup membantu dan membolehkan operasi mengangkat mayat mangsa ke atas pesawat di udara setinggi 50 meter berjalan lancar tanpa apa-apa halangan," katanya semalam.
Mohd Ruzaidi memaklumkan, pasukan penyelamat menurunkan sebanyak 80 kilogram bekalan makanan kepada baki pendaki di Gunung Reskit.
Katanya, jenazah mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat
Selasa lalu, seorang pendaki wanita meninggal dunia di Gunung Reskit dekat Kuala Tahan, Jerantut, kira-kira jam 7.30 pagi dipercayai akibat sesak nafas.
Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jerantut menerima panggilan dari Ketua Balai Polis Merapoh pada pukul 12.45 tengah hari memaklumkan ada satu kematian membabitkan seorang wanita ketika mendaki gunung terbabit.
Operasi menyelamat bermula sejak petang Selasa bagi membawa keluar mangsa namun mengalami kesukaran ekoran hujan dan kabus tebal. - Sinar Harian