Jenazah warga emas, anak angkat dibunuh dikebumikan hari ini

Bernama
Februari 4, 2025 16:01 MYT
Jenazah Ibrahim Mydin, 61, dan Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, dituntut oleh ahli keluarga masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi tadi.- Foto Bernama
ALOR SETAR: Jenazah warga emas dan anak angkatnya yang dipercayai dibunuh di Jalan Kota Tanah di Tongkang Yard dekat sini pada 21 Jan lepas dikebumikan selepas solat Zohor, hari ini.

Ringkasan AI
  • Jenazah Ibrahim Mydin dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, yang dipercayai dibunuh, telah dikebumikan selepas solat Zohor.
  • Keluarga mangsa berharap suspek mendapat hukuman setimpal dan menyatakan kesediaan untuk memaafkan selepas hukuman dijatuhkan.
  • Polis menahan lima suspek, termasuk seorang anak saudara mangsa, dan dua daripada mereka telah didakwa atas pertuduhan membunuh.

Jenazah Ibrahim Mydin, 61, dan Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira 11 pagi tadi.
Mohd Zaini Hashim, 63, bapa kepada Muhammad Muslim berkata jenazah anaknya yang sudah selesai dimandi dan dikafankan di hospital itu akan terus dibawa ke Masjid As-Salam Tambak Bunga, Kuala Kedah untuk disolatkan kemudian dikebumikan selepas zohor.
"Selepas hampir dua minggu, Alhamdulillah saya lega kerana akhirnya arwah anak dapat dikebumikan. Memang sedih tetapi saya reda dan harap arwah tenang dan dipermudah segala urusannya di sana.
"Lepas selesai semua urusan pengebumian arwah, saya akan ikuti perkembangan berkaitan kes ini. Saya harap suspek terlibat mendapat hukuman setimpal supaya kedua-dua arwah mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita di HSB di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada Mohd Zaini akan memaafkan suspek yang disyaki membunuh arwah anaknya itu, katanya dia hanya akan memaafkan kesemua suspek selepas mereka menerima hukuman setimpal yang dijatuhkan atas perbuatan kejam itu.
"Kalau ikut memang tidak dapat terima perbuatan kejam mereka tetapi saya ambil pendekatan untuk reda dengan apa yang telah berlaku. Memang marah, tetapi kalau pukul mereka (suspek) pun anak saya tidak akan hidup kembali," katanya.
Dalam pada itu, anak lelaki kepada arwah Ibrahim yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 33, berkata arwah bapanya akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al-Ihsan Tongkang Yard.
Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Tongkang Yard dan polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kejadian kebakaran biasa namun menukar kes itu kepada kes bunuh selepas siasatan mendapati terdapat unsur jenayah.
Susulan itu, polis menahan lima suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun termasuk seorang anak saudara Ibrahim dengan tiga daripada mereka positif dadah dan semalam dua daripadanya telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh.
-- BERNAMA
#jenazah warga emas #mati dibunuh #Tongkang Yard #dikebumikan
;