Jenazah ulama Pak Su Mid selamat dikebumikan
Adie Sufian Zulkefli
November 12, 2022 14:00 MYT
November 12, 2022 14:00 MYT
JERLUN: Jenazah ulama terkenal Kedah, Allahyarham Tuan Guru Abdul Hamid Ismail atau ‘Pak Su Mid Kuala Pai’, 96 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najjah Ayer Hitam pada jam 12 tengah hari tadi.
Terdahulu, jenazah tiba di masjid itu pada jam 11 pagi dan disolatkan.
Lebih 3,000 orang terdiri daripada ulama, pelajar tahfiz dan kenamaan hadir memenuhi kawasan tanah perkuburan tersebut untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Antara pemimpin yang kelihatan hadir memberikan penghormatan adalah pemimpin tempatan termasuk Tun Mahathir Mohamad, penyandang Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.
Allahyarham meninggal dunia pada jam 6.30 petang pada Jumaat di Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar akibat sakit tua.
Allahyarham Paksu Mid yang dilahirkan pada 1926 dan terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang sering menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk pemimpin dan masyarakat di negara ini.
Antara kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh tokoh ulama ini adalah sering mengingatkan orang ramai termasuk keluarganya agar tidak meninggalkan al-Quran sebagai pegangan hidup.
Allahyarham Pak Su Mid meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat, tiga anak dan 10 orang cucu.
Antara amalan Allahyarham adalah tidak pernah meninggalkan puasa sunat sejak 30 tahun lalu dan sering berwudhu.
Kitab yang menjadi rujukan Pak Su Mid adalah Hilyatul Auliyak, Futuhat Makkiyah Ibn Arabi dan Khozinatul Asror.
#Allahyarham Tuan Guru Abdul Hamid Ismail
#Pak Su Mid Kuala Pai
#meninggal dunia
#meninggal dunia di Putra Medical Centre