Jenazah Tun Salahuddin dibawa ke Masjid Jamek Kuching untuk penghormatan terakhir

Azizah Alwi
Januari 29, 2022 13:10 MYT
Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dibawa ke Masjid Jamek Kuching bagi upacara penghormatan terakhir.
KUCHING: Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dibawa ke Masjid Jamek Kuching bagi upacara penghormatan terakhir.
Keranda jenazah Allahyarham yang ditutupi bendera negeri dan diusung oleh pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dibawa masuk ke masjid sekitar pukul 11.25 pagi.
Upacara penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Abang Muhammad Salahuddin diadakan dengan penuh adat istiadat sementara solat jenazah akan diadakan selepas solat Zohor.
BACA: Mantan TYT Sarawak Tun Salahuddin meninggal dunia
BACA: PM Ismail Sabri ucap takziah kepada keluarga bekas TYT Sarawak
Allahyarham Abang Muhammad Salahuddin akan dikebumikan dalam istiadat pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini, hari ini.
Abang Muhammad Salahuddin yang berusia 100 tahun menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini pada Jumaat.
Allahyarham dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak dua kali pada April 1977-1981 selaku ketua negeri ketiga dan kembali menggalas tanggungjawab itu pada 22 Februari 2001 sehingga 28 Februari 2014 (keenam).
#Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng #Yang Dipertua Negeri Sarawak #meninggal dunia #Tun Salahuddin
;