Jenazah Tun Ahmad Sarji selamat dikebumi

Hasimi Muhamad
Ogos 28, 2021 12:42 MYT
Allahyarham, yang juga Pengerusi IKIM, menghembuskan nafas terakhir jam 1.40 pagi ini, pada usia 82 tahun.
KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara, di sini, kira-kira pukul 11.58 pagi.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham selesai disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, pada pukul 11.40 pagi.
Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menghembuskan nafas terakhir jam 1.40 pagi ini, pada usia 82 tahun.
Difahamkan, kapasiti individu yang dibenarkan berada di dalam masjid hanya sekitar 150 orang memandangkan ia tertakluk di bawah pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
BACA: Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji
BACA: Tun Ahmad Sarji meninggal dunia
Menurut catatan Unit Perhubungan Korporat IKIM, Ahmad Sarji yang dilahirkan pada 16 Sept 1938 merupakan pengasas dan Pengerusi IKIM pertama yang dilantik pada 1992, sehingga disandang pula oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Sept 2015.
Pada 4 Februari 2019, Ahmad Sarji dilantik semula sebagai Pengerusi IKIM sehingga kini.
#Tun Ahmad Sarji #Tun Ahmad Sarji meninggal dunia #selamat dikebumikan
;