Jenazah Tun Abdul Taib Mahmud tiba di Masjid Negara

Fahmi Izuddin
Februari 21, 2024 10:00 MYT
Jenazah dimandikan terlebih dahulu sebelum solat jenazah berlangsung sekitar jam 10 pagi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud tiba di Masjid Negara sekitar jam 9.15 pagi tadi.
Difahamkan, setelah sampai ke Masjid Negara, jenazah akan dimandikan terlebih dahulu sebelum solat jenazah berlangsung sekitar jam 10 pagi.
Sementara itu, kelihatan beberapa ahli keluarga yang memakai serba putih dan sahabat handai Allahyarham hadir bagi upacara penghormatan terakhir.
Pada masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut hadir sekitar jam 9.10 pagi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Difahamkan, selepas selesai solat, jenazah akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang pada jam 12 tengahari.
Seterusynya, jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Sarawak pada jam 1 petang dan dijangka tiba di Kuching pada jam 3.30 petang.
Jenazah akan terus dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Kuching.
Penghormata terakhir terhadap tokoh berusia 87 tahun itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok bermula jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Seterusnya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Demak untuk solat jenazah.
Majlis pengebumian dijangka diadakan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Demak, sekitar pukul 1.30 petang esok.
#Abdul Taib Mahmud #Masjid Negara #perhormatan terakhir #Demak Jaya
;