Jenazah tokoh akademik, Hassan Harun selamat dikebumikan
Vivi Sumanti
Disember 31, 2020 15:47 MYT
Disember 31, 2020 15:47 MYT
KOTA BHARU: Jenazah tokoh akademik, Allahyarham Datuk Hassan Harun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Dalam Kuin, Padang Bongor, Binjai, di sini sekitar jam 2.45 petang tadi.
Allahyarham, 75, meninggal dunia awal pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM Kubang Kerian kerana komplikasi kencing manis yang dideritainya sekian lama.
Menurut isterinya, Datin Che Fatimah Mohd Saad, 73, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan anak ketiganya Amirul Mukmin, 45 tahun.
Menurutnya lagi, Allahyarham suaminya baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedu pada 14 Disember lalu.
"Pada 18 Disember, arwah dibenarkan pulang dari hospital namun kelihatan lemah dan tidak mempunyai selera makan serta mengalami deman beberapa hari lalu sebelum dimasukkan semula ke wad kecemasan," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
"Lepas pembedahan nampak dia letih, dia ingat sebab trauma pembedahan, sebelum ini ada buat angiogram untuk jantung, lepas itu dibenar keluar dan balik, memang dia lemah juga tapi beransur sihat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Allahyarham meninggalkan dua balu dan tujuh anak berusia 50 hingga 20 tahun serta 12 cucu.
Allahyarham semasa hayatnya merupakan pengasas sekolah swasta Sekolah Kadir Adabi dan Sekolah Antarabangsa Wadi Sofea dan pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan pada 2014.
Selain itu Allahyarham juga adalah Pengerusi KUB Malaysia Berhad (KUB) yang membawa syarikat dari tahap koperasi menjadi status badan korporat yang terkenal, selain tokoh pemikir politik dan akademik yang banyak menyumbang idea dalam pendidikan dan politik tanah air.
Allahyarham juga menyertai Bersatu tahun lepas dan bertanding jawatan Ketua Bahagian Bersatu Pengkalan Chepa, namun tewas.
Sementara itu, rakan Allahyarham, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor menyifatkan pemergiaan Allhayarham satu kehilangan besar kerana Allahyarham merupakan seorang yang prihatin kepada rakan-rakan ketika sama-sama menuntut di Universiti Malaya.
"Saya agak terkejut dan turut dukacita bersama sama ahli keluarga dengan pemergian beliau kita kehilangan tokoh yang agak besar dalam dunia perniagaan dan politik," katanya.
#UMNO
#Barisan Nasional
#meninggal dunia
#jenazah
#unit rawatan rapi
#Datuk Hassan Harun
#tokoh akademik meninggal dunia