Jenazah tiga beranak lemas berpelukan selamat dikebumi dalam satu liang
Adie Sufian Zulkefli
Jun 26, 2022 18:34 MYT
Jun 26, 2022 18:34 MYT
ALOR SETAR: Jenazah tiga beranak yang lemas di Sungai Muda berhampiran Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani- Baling selamat dikebumikan jam 5.45 petang tadi dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Az-Zaitun, hari ini.
Sebaik selesai bedah siasat dan dikafankan di Hospital Kulim, jenazah Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dibawa ke rumah pusaka peninggalan ibu dan ayahnya di Kampung Paya Kerchut, Bukit Pinang pada jam 4.05 petang.
Jenazah tiga beranak itu kemudian disolatkan di masjid Masjid Az-Zaitun sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Suasana bertukar pilu sebaik jenazah tiga beranak itu diturunkan ke dalam liang.
Kelihatan bapa dua kanak-kanak itu, Sharudin Aziz, 51, dan anak sulungnya, Muhammad Ziyad Hadif, 10, tidak dapat menahan sebak.
Pengebumian dihadiri hampir 200 orang termasuk ahli keluarga dan rakan sekolah Masyitoh.
Dalam kejadian jam 6.30 petang Sabtu, kereta Proton Persona yang dipandu Masyitoh hilang kawalan terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling.
Mayat Masyitoh dan dua anaknya, ditemui dalam keadaan berpelukan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan itu pada jam 3.30 pagi sebaik kereta itu berjaya dinaikan ke atas jambatan.