Jenazah Tan Sri Dr Awang Had Salleh selamat dikebumikan

Astro Awani
Julai 1, 2013 12:13 MYT
Jenazah tokoh akademik Tan Sri Dr Awang Had Salleh selamat dikebumikan selepas solat Zuhur.
Sebelum itu jenazahnya disembahyangkan di rumah seorang anaknya di Presint 10, Putrajaya.
Allahyarham kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan Islam di Presint 20, Putrajaya.
Tan Sri Dr Awang had meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 3 pagi Isnin di Hospital Putrajaya.
Pemergian Allahyarham disifatkan kehilangan besar kepada dunia pendidikan.
Ini diakui sendiri oleh rakan Allahyarham dalam bidang perguruan Profesor Datuk Dr. Ibrahim Bajunid.
“Kehilangan ini bukan sahaja kepada keluarga malah negara kita, tulisan beliau bimbingan beliau dalam semua aspek pembangunan negara pemikiran tajam dan halus beliau adalah contoh teladan bagi pendidik generasi masa depan,” kata beliau.
Sementara itu, menantu Allahyarham yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata bapa mertuanya itu meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru.
Menurut Abdul Rahman apa yang sangat diingati tentang bapa mertuanya itu ialah Allahyarham sangat mementingkan pendidikan sehingga sentiasa menghadiahkan cucu-cucunya dengan bahan bacaan.
Sementara itu, isterinya Datin Norazlina yang juga anak keenam Allahyarham berkata bapanya itu sakit hampir lapan tahun dan sering keluar masuk hospital.
Keadaan Allahyarham semakin serius sejak tiga hari lepas dan terpaksa dimasukkan ke hospital Putrajaya kerana sukar bernafas.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Salmah Abu Bakar dan tujuh anak.
#Datuk Abdul Rahman Dahlan #Tan Sri Dr Awang Had Salleh