Jenazah Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan
Ridauddin Daud
November 25, 2024 12:30 MYT
November 25, 2024 12:30 MYT
GOMBAK: Jenazah maestro muzik tanah air, Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini, kira-kira jam 11.10 pagi Isnin.
Upacara pengebumian itu dihadiri lebih 100 ahli keluarga, kenalan rapat dan rakan selebriti yang memberikan penghormatan terakhir kepada legenda muzik tempatan itu.
Antara rakan artis dilihat hadir di rumah dan surau adalah penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang, Ramlah Ram dan Datuk ND Lala, selain penulis lirik, Datuk Chuari Selamat dan Lukhman S.
Turut hadir adalah bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Sementara itu, komposer tersohor negara, Datuk M Nasir turut hadir ke tanah perkuburan selain artis tempatan seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan komposer, Azmeer.
Jenazah sebelum itu dimandi dan disolatkan di Surau Al-Tarbiah Al-Islamiah Taman Melewar sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 3.15 petang Ahad akibat sakit tua.
Allahyarham telah menggubah lebih 2,000 buah lagu dan menghasilkan lebih 200 album buat artis tempatan dan Indonesia antaranya Uji Rashid, Broery Marantika, Hetty Koes Endang, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sudirman Arshad dan Ramlah Ram.
Allahyarham juga dianugerahkan pengiktirafan sebagai Seniman Negara pada 2006 atas jasa dan sumbangannya dalam industri muzik.