Jenazah Syed Redzuan dibawa pulang esok - Ketua Ekspedisi

Bernama
Disember 3, 2016 20:38 MYT
Rozaimi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pendaki iaitu Ramli Abd Majid, 44, yang masih hilang di pergunungan itu akan terus dilakukan. - Foto Rozaimi Mohd Said
Jenazah Syed Redzuan Syed Salim Shatri, pendaki Malaysia yang maut di Gunung Damavand, Iran akan dibawa pulang ke tanah air esok.
Ketua Ekspedisi, Rozaimi Mohd Said berkata jenazah Syed Redzuan, 50, akan dibawa pulang dari Tehran ke Kuala Lumpur pada pukul 10 malam esok (waktu tempatan).
"Jenazah telah selamat dikafankan hari ini di sini (Tehran) dan Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada tengah hari Isnin.
"Selepas itu, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam BTHO," katanya melalui aplikasi WhatsApp.
Dalam perkembangan lain, Rozaimi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pendaki iaitu Ramli Abd Majid, 44, yang masih hilang di pergunungan itu akan terus dilakukan.
"Tetapi buat masa ini cuaca buruk menghalang mereka (kumpulan SAR) dari meneruskan misi pencarian. Namun mereka akan terus memantau keadaan cuaca dan misi akan disambung semula jika keadaan cuaca bertambah baik," katanya.
Syed Redzuan dan Ramli dilaporkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu pada 20 Nov lepas setelah mereka terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain. -- Bernama
#Gunung Damarvand #Iran #pendaki hilang #Rozaimi Mohd Said #Syed Redzuan
;