Jenazah suspek serang balai polis masih belum dituntut

Sinar Harian
Mei 19, 2024 22:11 MYT
Persiapan untuk mengebumikan suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sudah dilakukan sejak Sabtu di kawasan hujung Pusara Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru pada Ahad. - Gambar Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Jenazah lelaki yang maut ditembak dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini pada Jumaat masih belum dituntut ahli keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Proses bedah siasat sudah selesai tetapi proses pengebumian suspek masih tidak dapat dilakukan walaupun kuburnya di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, Batu 19, Kampung Sungai Tiram di sini sudah sedia sejak Sabtu.
Petugas media sudah berada di tanah perkuburan tersebut sejak jam 1 petang dan sehingga jam 8 malam, belum ada tanda-tanda jenazah akan kebumikan pada malam Ahad.
Tinjauan ke tanah perkuburan tersebut mendapati terdapat persiapan bagi pengebumian jenazah sudah dilakukan dengan memasang khemah biru.
Kedudukan kubur yang sudah siap digali itu terletak di hujung tanah perkuburan tersebut iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.
Selain itu tidak kelihatan polis atau ahli keluarga termasuk saudara dan rakan suspek hadir di tanah perkuburan tersebut sehingga jam 6 petang.
Suspek sebelum ini tinggal di Jalan Robani, Kampung Sungai Tiram iaitu tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut.
Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek.
Anggota polis yang cedera akibat ditembak itu kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - Sinar Harian
#insiden serangan #proses pengebumian #malam Ahad #khemah biru
;