Jenazah suspek militan dikebumi di Pontian
Bernama
Disember 20, 2012 11:31 MYT
Disember 20, 2012 11:31 MYT
Jenazah anggota militan rakyat Malaysia yang mati ditembak di Davao, Filipina Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Parit Abdul Rahman, Benut di Pontian, pagi ini.
Jenazah Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, dikebumikan pada 7 pagi dalam keadaan hujan renyai dengan dihadiri hampir 100 anggota keluarga dan kenalan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di perkarangan Masjid Jamek Temenggong Daeng Abdul Rahman, pada 5.30 pagi setelah diterbangkan dari Davao, Filipina pada 9 malam tadi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 1 pagi.
Jenazah kemudian dibawa pulang dengan menaiki van jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke kampung halamannya di Kampung Parit Abdul Rahman Pontian, untuk dikebumikan.
Suasana hiba dan sedih menyelubungi perkarangan masjid sebaik kenderaan membawa jenazah itu tiba.