Jenazah Siti Zaharah selamat dikebumikan di Shah Alam

Bernama
Julai 27, 2024 04:52 MYT
Jenazah Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Jenazah bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman selamat dikebumikan pada 11.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah bekas Ketua Wanita UMNO itu dibawa ke Surau Platinum Al-Mawaddah, Seksyen 7, dekat sini untuk disolatkan sebelum dibawa menaiki van dan tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 10.40 pagi.
Pengebumian Siti Zaharah, 75, yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik itu, turut dihadiri ahli keluarga dan rakan.
Sementara itu, anak kedua kepada Siti Zaharah, Jati Dzulkarnain Samarudin berkata Allahyarham ibunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang pada 11.23 malam tadi akibat sakit tua.
"Insya-Allah kami akan mengadakan majlis tahlil buat arwah ibu (Siti Zaharah) selama tiga malam berturut-turut di rumah saya di Denai Alam.
"Saya juga amat berterima kasih kepada semua yang hadir pada pengebumian ibu hari ini, baik ahli keluarga atau rakan-rakan ibu sendiri," katanya ketika ditemui Bernama selepas selesai urusan pengebumian.
Allahyarhamah meninggalkan empat anak dan 12 cucu.
Siti Zaharah yang dilahirkan pada 24 April 1949 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).
Dalam politik, beliau merupakan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Mentakab, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO.
-- BERNAMA
#bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat #Siti Zaharah Sulaiman #selamat dikebumikan #meninggal dunia