Jenazah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain selamat dikebumikan
Bernama
Januari 1, 2015 18:44 MYT
Januari 1, 2015 18:44 MYT
Jenazah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat zuhur hari ini.
Abdullah, 94, meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 17, di sini kira-kira 9 malam tadi kerana sakit tua.
"Arwah bapa seorang yang sangat warak, kuat beribadat dan selalu mengaji terutama selepas waktu Subuh ... seorang sangat penyayang terutama kepada ibu dan anak-anaknya," kata Ahmad Patria, anak sulung Allahyarham ketika ditemui pemberita selepas upacara pengebumian itu.
Menurutnya, arwah bapanya pernah mengharap semoga perjuangan bidang penulisannya itu menjadi kesinambungan kepada generasi akan datang.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Saroja Basri dan lima orang anak berumur antara 32 hingga 46 tahun serta 20 orang cucu.
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang hadir di tanah perkuburan menyifatkan pemergian Allahyarham sukar dicari ganti dan sangat-sangat dirasai terutama dalam kalangan sasterawan seangkatannya.
"Arwah seorang yang sangat produktif ... beliau sangat menghormati golongan sasterawan seangkatan beliau malah juga daripada golongan yang muda," katanya kepada pemberita sambil menambah yang beliau mengenali Abdullah sejak tahun 1950-an lagi.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Sasterawan Negara Datuk Dr. Mohd Anwar Ridhwan turut menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Seksyen 17, di sini.
Abdullah telah menghasilkan lebih 19 novel di antara 1940 hingga 1990-an, antaranya novel Iman yang pernah memenangi Hadiah Pertama Novel Nasional, tiga kumpulan cerpen, sembilan terjemahan, satu autobiografi dan lima biografi.
Anugerah yang pernah diterima Allahyarham ialah SEA Write Awards di Bangkok, pada tahun 1981 dan Penerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1995 iaitu penerima kelapan sejak anugerah itu diperkenalkan pada tahun 1980.