Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Bernama
Julai 23, 2023 00:53 MYT
Salahuddin meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah. - FB Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR: Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada 12 tengah hari Isnin.
Menurut jadual perancangan dikongsikan Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal, ziarah jenazah di kediaman ibu Allahyarham ditetapkan pada 7 pagi di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.
Sementara ziarah jenazah di kediaman Allahyarham pula ditetapkan pada 10 pagi di TL7, Jalan Adil, Serkat dan solat jenazah dijadual pada 11 pagi di Masjid Jamek Dato' Hj Noh Gadot, Serkat.
"Keluarga Allahyarham turut mengirimkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas doa dan ingatan terhadap Allahyarham," katanya.
Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Semalam, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
-- BERNAMA
#pendarahan otak #meninggal dunia #wad kecemasan HSB #doktor pakar
;