Jenazah Salahuddin dibawa pulang ke Johor pada 1 pagi ini - Anthony Loke

Bernama
Julai 23, 2023 23:37 MYT
Loke turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang amat disayangi dan berprinsip dalam perjuangan politiknya bersama Pakatan Harapan (PH). - Gambar FB Salahuddin Ayub
SEREMBAN: Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub akan dibawa pulang ke Johor dengan penerbangan khas pada 1 pagi ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penerbangan itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11 malam.
"Saya amat sedih mendengar berita tersebut, pegawai Allahyarham memaklumkan kepada saya untuk dapatkan pesawat khas untuk bawa jenazah ke kampung halamannya untuk dikebumikan," katanya ketika berucap pada majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam ini.
Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang amat disayangi dan berprinsip dalam perjuangan politiknya bersama Pakatan Harapan (PH).
Loke berkata Allahyarham juga telah menjalankan tugasnya sebagai menteri dengan amat baik menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat.
"Saya percaya Allahyarham mahu kita teruskan perjuangan, walaupun beliau meninggalkan kita tetapi semangatnya (tetap hidup) untuk meneruskan perjuangan dan legasinya dalam pilihan raya. Beliau seorang ahli PH yang benar-benar membawa perjuangan kita selama ini," katanya.
Salahuddin meninggal dunia pada 9.23 malam ini pada usia 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Semalam, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal memaklumkan beliau dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
-- BERNAMA
#meninggal dunia #PRN #Pakatan Harapan #penerbangan khas
;