Jenazah Ridzuan selesai disembahyang, akan dikebumikan di Hulu Langat
Nickyson Nyambar
Mei 4, 2023 20:02 MYT
Mei 4, 2023 20:02 MYT
KUALA LUMPUR : Jenazah pelakon terkenal, Allahyarham Ridzuan Hashim selesai disembahyangkan di Masjid Al-Mutaqqim, Hulu Langat sekitar jam 7 malam.
Jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan Islam Dusun Tua untuk dikebumikan sebentar lagi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 1.57 tengah hari Khamis.
Anak Allahyarham, Dhaniya Ridzuan ketika dihubungi Astro AWANI hari ini memaklumkan bapanya dipercayai mengalami serangan jantung lalu rebah sebelum dikejarkan ke HKL pada Khamis.
Tambahnya, Allahyarham juga memiliki sejarah penyakit jantung sebelum ini dan pernah dimasukkan ke hospital.
Allahyarham mula mencipta nama sebagai peragawan terkenal menerusi pentas peragaan dan iklan komersial sebelum terbabit dalam bidang lakonan.
Antara filem lakonan Allahyarham adalah Antara Dua Hati, Hati Bukan Kristal, KL Gangster dan beberapa buah filem lain.
Allahyarham berkahwin dengan Didie Alias pada 1991 dan berpisah pada 2002. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan lima orang anak.