Jenazah rakyat Malaysia maut di Jordan selamat tiba di tanah air
Harits Asyraf Hasnan
Januari 27, 2016 22:20 MYT
Januari 27, 2016 22:20 MYT
Tiga jenazah pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di Jordan 23 Januari lalu selamat tiba di Malaysia 4.30 petang hari ini.
Jenazah Fatin Ikmal Idziyani Che Aziz yang dituntut kedua ibu bapanya, keluar dari Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 6.15 petang hari ini.
Ibu Fatin, Rapidah Mat Rani melahirkan rasa syukur kerana jenazah anaknya itu selamat dibawa pulang ke tanah air.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur jenazah anak saya selamat tiba dari Jordan. Walaupun proses (pengurusan jenazah) makan masa, InsyaAllah saya sabar menunggu. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Kargo KLIA di sini hari ini.
Rapidah pada masa sama turut berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menguruskan proses pengurusan jenazah anaknya dari Jordan hingga tiba ke tanah air.
"Saya amat berterima kasih. Kami ini dari golingan berkemampuan, dengan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sedikit sebanyak meringankan beban yang kami tanggung.
"Walau susah macam mana sekali pun, mereka memang perihatin dengan kami dan mengambil berat untuk kembalikan jenazah ini. Saya rasa amat bersyukur," katanya yang turut diiringi suami, Ahmad Sabri Mat Baharin.
Sementara itu, jenazah Hana' Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie diterbangkan ke kampung halaman masing-masing di Kota Bharu, Kelantan bagi proses pengurusan jenazah.
Ketiga-tiga pelajar berkenaan merupakan pelajar di Universiti Mu'tah, Jordan maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Mafraq.
Sementara dua lagi rakan mereka Fatin Nor Syahirah Ramli dan Izam Hasif yang berasal dari Kelantan dan Negeri Sembilan dilaporkan cedera dalam kemalangan itu.