Jenazah Pro-Canselor Unisel, Dr Anuar Masduki selamat dikebumi

Bernama
Mac 2, 2025 17:45 MYT
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyiram air mawar pada pusara Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) Allahyarham Datuk Dr Anuar Masduki di Makam Diraja Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Jenazah Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) Datuk Dr Anuar Tafsir@Masduki atau lebih dikenali Dr Anuar Masduki yang meninggal dunia pagi tadi, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini pada 3 petang.
Terdahulu jenazah Allahyarham Dr Anuar disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum dibawa dengan kenderaan jenazah dan tiba di makam diraja pada 2.12 petang.
Turut berangkat ke pengebumian itu ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin.
Terdahulu, Dr Anuar, 79, meninggal dunia pada 9.28 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya dekat sini.
Dr Anuar yang merupakan pakar kardiologi peribadi kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, meninggalkan seorang isteri dan dua anak iaitu Dr Ainur Rahman, 48, serta Norma Syaneda, 47.
Allahyarham merupakan Pro-Canselor Unisel sejak 1 Ogos 2009.
-- BERNAMA
#Pro-Canselor Unisel #selamat dikebumi #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Makam Diraja Shah Alam #terkini
;