Jenazah Presiden MAA, Aishah Ahmad dikebumikan di Arab Saudi hari ini

Sinar Harian
Februari 3, 2023 20:21 MYT
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi pada 2 Februari.
SHAH ALAM: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengesahkan jenazah Presidennya, Datuk Aishah Ahmad Badjunaid, 71, yang meninggal dunia di Jeddah akan dikebumikan di Arab Saudi hari ini.
MAA dalam satu kenyataan memaklumkan pemergian Aishah sememangnya satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli MAA tetapi juga seluruh industri automotif.
“Aishah sangat dihormati dalam industri automotif tempatan serta rakan sejawatannya di luar negara di ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan kerajaan Malaysia.
"Beliau adalah seorang legenda dan salah seorang personaliti automotif terkemuka yang mengabdikan tahun terbaik dalam hidupnya dengan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri automotif Malaysia dengan visi, dedikasi serta semangatnya.
"Bagi pihak ahli dan kakitangan MAA, kami mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Aishah Ahmad," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Aishah menerajui MAA sejak 1991 (semasa MAA dikenali sebagai Persatuan Peniaga Permotoran Malaysia atau MMTA) dan menerajui pertumbuhan MAA sehingga menjadi persatuan industri automotif terkemuka di Malaysia.
Allahyarham juga pernah menjadi pengerusi Persekutuan Automotif Malaysia (AFM) sejak 1998.
MAA berkata, Aishah juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Persekutuan Automotif ASEAN (AAF) selama tiga penggal, 2000-2002, 2008-2010, dan 2015-2017.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi pada 2 Februari.- Sinar Harian
#Aishah Ahmad #Presiden MAA #meninggal dunia #Arab Saudi
;