Jenazah pesakit COVID-19 pun kami uruskan, semuanya percuma - Sentuhan Setia Kasih

Ridauddin Daud
Mei 31, 2021 17:23 MYT
Sumbangan anda pasti memberi makna kepada mereka untuk terus berkhidmat dan memanfaatkan saudara seagama yang memerlukan. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Kata orang, wang bukanlah segalanya, tapi segalanya memerlukan wang.
Bergaduh, putus saudara angkara harta ... itu kisah biasa yang pernah kita dengari apabila melibatkan soal wang. Sama jugalah ceritanya dengan culas bayar hutang.
Begitupun, ada yang meletakkan soal wang jauh ke belakang, sebaliknya mendahulukan amal untuk manusia dan pastinya, hanya untuk keredaan Tuhan.
Bagi insan bernama Shahrol Mohamad, 40, dan Mohd Firdaus Abdul Hamid, 37, pengorbanan titik peluh mereka langsung tidak mengharapkan pulangan.
Dalam situasi musim pandemik COVID-19 yang mendambakan pengorbanan setiap daripada kita dalam melaksanakan sesuatu demi kemaslahatan bersama, kedua-dua bekas pemandu trak tunda ini memilih untuk berbakti menguruskan jenazah dari awal hingga akhir secara percuma.
Menerusi Sentuhan Setia Kasih yang ditubuhkan bersama, sesuai dengan namanya, usaha murni itu telah menyentuh banyak jiwa.
Ketika dalam situasi keluarga yang dirundung kesedihan kerana pemergian insan tersayang, hadir dua lelaki ini - menguruskan jenazah dari awal hingga akhir - untuk insan yang tidak pun mereka kenali.
Mandi, kafan, kebumikan jenazah, semuanya diuruskan sebaiknya.
Sejurus selesai, ahli keluarga arwah itu lazimnya tergerak hati untuk menghulurkan wang sebagai tanda terima kasih.
Namun, secara baik, mereka menolak kerana bagi Shahrol dan Mohd Firdaus, mereka ikhlas membantu demi amal kepada manusia dan kerana Allah.
“Kita menolak bulat-bulat. Kita tak ambil bayaran walau sekali pun. Kita akan salam dan terus beredar dari tempat tersebut.
Meskipun begitu, sudah menjadi adat manusia yang tahu mengenang jasa, masih ada yang tetap juga mahu menghulurkan sesuatu dalam bentuk wang ringgit.
“Ada yang berkeras nak bagi, kami akan cakap, masukkan saja ke dalam akaun pertubuhan, tak perlu beritahu kami pun, kami tak tahu pun siapa penyumbangnya.
“Tetapi duit sumbangan itu akan berjalan dengan pembelian barang-barang operasi kami,” kata Shahrol atau mesra disapa Abang Chik.
Menurutnya, kos pengurusan jenazah boleh mencecah RM1,000, tetapi mungkin kurang, bergantung kepada lokasi.
Namun dengan Sentuhan Setia Kasih, semua itu disediakan secara percuma.
Sejak melakukan kerja amal itu bermula September tahun lepas, kehidupan mereka boleh dikatakan berubah 180 darjah.
Jika dulu terima panggilan kemalangan, kini panggilan untuk pengurusan jenazah pula berdering.
Malah jenazah COVID-19 pun mereka turut bantu kebumikan.
Perasaan takut, khuatir, gentar ditolak ke tepi, sebaliknya segala ilmu, tenaga dan keringat dikerah demi melunaskan tanggungjawab seterusnya memudahkan urusan saudara seagama.
Mereka menyerahkan segalanya kepada Allah, berdoa agar mereka selamat sentiasa dan dipermudahkan semuanya.
Bagaimana dengan penerimaan keluarga? Sudah pasti mereka bimbang, akui Mohd Firdaus, namun demi saudara seagama semua itu digagahkan jua.
“Ada juga isteri tanya, 'betul ke kena ambil jenazah COVID-19? Ini bukan main-main, takut nanti awak kena balik (dijangkiti virus)'.
"Saya cakap kepada isteri satu saja... ini fardu kifayah... kerana Allah dan arwah mak saya.
“Itu saya pegang. Selamat saya, selamatlah semua, kecuaian saya, kecuaianlah semua.
"Alhamdulillah, 19 jenazah COVID-19 yang saya uruskan selama ini, dua kali saya buat ujian saringan, dua kali negatif. Alhamdulillah,” ujarnya.
Bagi Epit dan Abang Chik, kedua-duanya mengaku menguruskan jenazah COVID-19 bukanlah mudah, cabarannya jauh berbeza daripada jenazah biasa.
Sebelum mengambil jenazah di hospital, mereka perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan sepanjang di dalam van, itulah pakaian mereka.
Dengan pakaian tersebut di dalam van, angin bahkan hawa dingin langsung tidak terasa, bahang saja memenuhi segenap ruang dalaman PPE.
Sebaik tiba ke tanah kubur, perkara pertama perlu dilakukan ialah mensanitasi van dan jenazah sebelum membantu yang lain bersiap untuk kebumikan jenazah.
Di bawah terik mentari, bersalutkan PPE, Abang Chik dan Epit membantu kebumikan jenazah, semuanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Peluh membasahi baju, wajah kelihatan penat namun mereka seronok dapat berbakti.
“Bila kita dapat doa daripada orang yang kita bantu, mendoakan kita, saya rasa, insya-Allah doa itu terus sampai kepada Allah.
“Doa dengan air mata yang jatuh, satu dengan kesedihan kematian orang tersayang.
"Kedua, doa bila menerima bantuan seperti ini daripada kami yang tak mengenakan bayaran, ia sangat ikhlas doanya.
“Itu sebab saya sangat gembira, seronok sangat,” kata Abang Chik.
Selesai semua, proses sanitasi sekali lagi dijalankan pada baju bahkan badan mereka juga.
Semuanya demi memastikan virus tidak ikut balik bersama yang mungkin membahayakan keluarga dan insan tersayang.
Ketika ditanya sampai bila mereka mahu terus berbakti, Abang Chik dan Epit sepakat: “Selagi nyawa dikandung badan, selagi kudrat diperlukan, kami mahu teruskan perjalanan.”

* Jangan lupa untuk menonton laporan khas ini di AWANI 7:45 malam ini (Isnin, 31 Mei 2021).
#COVID-19 #jenazah #maut #urus jenazah #Sentuhan Setia Kasih #pemandu #van jenazah #trak tunda #SOP #kebumi #mangsa #meninggal dunia #virus #PPE #kubur #kes baru #PKP #PKP Penuh #sekatan pergerakan penuh
;