Jenazah penuntut UPNM dipercayai mati didera selamat dikebumikan
Astro Awani
Jun 2, 2017 23:45 MYT
Jun 2, 2017 23:45 MYT
Jenazah penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dipercayai akibat didera, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu sejurus jenazah tiba kira-kira 8.45 malam selepas disembahyangkan sekali lagi di Masjid Kampung Kurnia dan dikebumi pukul 9.15 malam.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi Selangor untuk disembahyangkan, sebelum dibawa pulang ke Johor.
Lebih 100 ahli keluarga serta kenalan lain hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.
Ibu kepada Zulfarhan, Hawa Osman, terkilan kerana anaknya itu tidak sempat untuk menyarung baju raya berwarna kelabu seperti yang dimintanya sebelum ini.
“Arwah seorang yang ambil berat pada kawan dan adik-beradik. Dia yang sulung dalam empat adik-beradik.
“Untuk hari raya, dia minta baju warna kelabu. Saya dah pun beli untuk tiga beranak, tapi tak sempat (untuk Zulfarhan) sebabnya bulan puasa dia kata dia tak dapat balik sebab dia kerja,” ujar ibunya.
Turut hadir, Komandan Akademi Latihan Ketenteraan upnm, Brigedier Jeneral Raja Ahmad Ikram Raja Othman, Pegawai Khas Menteri Pertahanan, Abd Halim Abd Jalil mewakili Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Abdul Rashid Kasman mewakili Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Zulfarhan merupakan pelajar tahun ketiga kejuruteraan elektrik di UPNM, disahkan meninggal dunia petang semalam.
Zulfarhan dipercayai didera rakan dengan menggunakan seterika wap dan hasil bedah siasat juga mendapati terdapat kesan melecur di bahagian dada, tangan serta kaki.