Jenazah penerima hati Mohd Afiq disemadi di Kampung Masjid Tikam Batu

Adie Sufian Zulkefli
Mac 2, 2021 19:02 MYT
Jenazah Allahyarham Mohd Afiq Ikmal Muhammad (foto kecil) disembahyangkan di masjid Masjid Barokah, Kampung Masjid Tikam Batu yang dihadiri lebih 50 orang termasuk jemaah masjid, ahli keluarga dan rakan-rakannya. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Jenazah Mohd Afiq Ikmal Muhammad, 23, penerima hati pertama negara disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Barokah, Kampung Masjid Tikam Batu, di sini sekitar pukul 6 petang tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di masjid berkenaan yang dihadiri lebih 50 orang termasuk jemaah masjid, ahli keluarga dan rakan-rakannya.
Turut mengiringi jenazah sehingga ke liang lahad ialah penderma hati, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45.
Mohd Afiq Ikmal meninggal dunia awal pagi Selasa selepas 18 hari menjalani rawatan di Hospital Selayang, Selangor sejak 13 Februari lalu akibat komplikasi hati.
Penerima Organ | Jenazah Mohd Afiq selamat disemadikan
Allahyarham Mohd Afiq Ikmal mencatat sejarah negara apabila menjadi penerima hati pertama di Malaysia pada 1999 selepas menerima hati daripada Wan Mohd Hafizam.
Wan Mohd Hafizam yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Mohd Afiq Ikmal membuat keputusan itu atas dasar kemanusiaan dan mahu membantu pemuda itu yang mengalami masalah hati bengkak ketika usianya 14 bulan.
Keberanian Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menjadi penderma hati pertama Malaysia itu sekali gus membuka mata dan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan pendermaan organ.
BACA: Penerima hati pertama meninggal dunia
#Jenazah Mohd Afiq #Mohd Afiq Ikmal Muhammad #Penerima hati pertama negara #penderma hati #Wan Mohd Hafizam Wan Ismail #disemadi #Tanah Perkuburan Islam Masjid Barokah #Kampung Masjid Tikam Batu #Sungai Petani #Kedah
;