Jenazah pelajar Malaysia kes kebakaran di Rusia tiba di tanah air hari ini

Bernama
Mei 9, 2015 16:38 MYT
Keadaan Nur Artikah dilaporkan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia ketika ibu bapanya berada di negara itu untuk menziarahinya. -Foto sumber Facebook
Jenazah Nur Artikah Alias, 25, yang meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan selepas asrama pelajar perubatan di Rusia terbakar pada 22 April lalu dijangka tiba di tanah air pada Sabtu malam.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia susulan urusan teknikal serta dokumentasi berjaya diselesaikan hasil perbincangan dengan kerajaan Rusia.
“InsyaAllah, (jenazah) akan sampai di KLIA pukul 10 malam esok. Jadi urusan untuk membawa balik diuruskan oleh kerajaan negeri sepenuhnya.
“Kita jangka akan sampai di Pasir Putih, di rumah nenek kepada arwah ini pada waktu pagi. Seterusnya akan dilaksanakan urusan pengkebumian,” kata Ahmad Razif.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hospital Ekuin di Lembah Bidong, Setiu pada Jumaat petang.
Menurutnya, ibu bapa allahyarham yang berada di Rusia akan dibantu pegawai Yayasan Terengganu bagi membawa pulang jenazah ke Kuala Krai, Kelantan.
Pada jangkaan awal, jenazah allahyarham dijadual tiba di Kuala Lumpur pada jam 9.45 malam, hari Khamis (7 Mei) apabila proses dokumentasi diselesaikan.
Kerajaan negeri telah menanggung kos bagi membawa pulang jenazah Nur Artikah selain pembiayaan kedatangan kedua-dua ibu bapa mangsa ke Rusia.
Keadaan Nur Artikah dilaporkan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia ketika ibu bapanya berada di negara itu untuk menziarahinya.
Seramai 43 pelajar termasuk 21 pelajar Malaysia cedera apabila asrama sebuah sekolah perubatan di Rusia setinggi 16 tingkat terbakar dalam kejadian pada awal pagi 22 April lalu.
#Ahmad Razif Abdul Rahman #kebakaran #Nur Artikah Alias #pelajar #Rusia
;