Jenazah pelajar Malaysia dalam kebakaran asrama di Moscow tiba esok
Astro Awani
Jun 11, 2015 11:48 MYT
Jun 11, 2015 11:48 MYT
Seorang lagi jenazah pelajar Malaysia yang terlibat dalam insiden kebakaran asrama di Moscow April lalu, akan tiba di kediaman keluarga di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Setelah 46 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), mangsa Rajesh Kumar, 25 menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sklifosovskogo, pada Sabtu lalu.
Rajesh, pelajar Universiti Kajian Perubatan Kebangsaan Rusia (RNRMU) menerima rawatan kritikal di hospital berkenaan selepas melecur 40 peratus di muka, tangan dan bahagian pinggang hingga ke kaki dalam kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, lapor akhbar Kosmo hari ini, bapa mangsa, Krishna Kumar berasa terkilan kerana pihak hospital tidak memberi kebenaran melihat jenazah Rajesh walaupun ketika itu keluarga berada di Moscow.
Kata Krishna, 52, keluarganya hanya dapat berbuat demikian bila jenazah tiba esok iaitu selepas tujuh hari Rajesh meninggal dunia.
“Kami hampa bila pihak hospital tidak benarkan tengok jenazah Rajesh ketika di sana. Kami harap pihak kedutaan campur tangan dalam hal ini agar ia tidak berulang kepada orang lain,” katanya yang baru tiba di kediamannya di Kota Bharu pada pagi Rabu dari Rusia.
Namun begitu, Krishna memberitahu dia dan keluarga sempat melawat ketika anaknya menerima rawatan di sana dan mendakwa Rajesh masih mampu mengukirkan senyuman.
“Rajesh seorang yang kuat. Walaupun berada dalam kesakitan dia mampu tersenyum dan gembira melihat kami sekeluarga berada di sisinya ketika di hospital,” kata Krishna.
Rajesh adalah antara 21 rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kebakaran penginapan universiti itu pada 7.30 malam, 22 April lalu.
Dari jumlah itu, dua orang dimasukkan ke unit kritikal, enam menerima rawatan pernafasan dan selebihnya berada dalam keadaan stabil.
Sebelum itu, seorang daripada mangsa kebakaran, Nor Atikah Alias, 25, meninggal dunia akibat komplikasi pernafasan ketika menerima rawatan.
Jenazah Allahyarham Nor Atikah dibawa pulang dan dikebumikan di kediaman keluarganya di Paser Puteh, Kelantan pada 8 Mei lalu.