Jenazah pegawai polis dan isteri terbabit kemalangan di Baling selamat dikebumikan

Bernama
April 18, 2017 22:14 MYT
ASP Mohd Noor Mat Yaub dan isteri Suriya Abdul Rahman maut di tempat kejadian apabila kereta mereka terlibat dalam satu nahas tiga kenderaan di Kampung Teluk Teduri, Jalan Baru Kupang Baling pagi tadi. -fotoBERNAMA
Jenazah ASP Mohd Noor Mat Yaub dan isterinya Suriya Abdul Rahman yang maut dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri, Baling, Kedah pagi tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buluh, Ipoh di sini, pukul 6.30 petang ini.
Kedua-dua jenazah yang dibawa pulang menaiki van jenazah dari Baling pada pukul 2 petang tiba di kediaman anggota keluarga Suriya pada pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Baling, Supt Sharifuddin Yusof dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohamed turut hadir pada majlis pengebumian itu.
Sementara itu, bapa Mat Yaub Puteh, 68, berkata beliau reda dengan pemergian Mohd Noor dan bersyukur kerana empat cucunya terselamat dalam kemalangan itu walaupun ada yang cedera.
Beliau berkata kali terakhir bertemu dengan arwah anak dan menantunya itu pada Jumaat lepas ketika mereka ke rumahnya di Pasir Puteh.
Menurut laporan awal Balai Bomba dan Penyelamat Baling, kejadian pukul 7.15 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Toyota Passo yang dinaiki Mohd Noor sekeluarga sedang dalam perjalanan dari Kupang ke Baling.
Difahamkan, Mohd Noor sedang hendak menghantar isterinya, seorang guru, dan empat anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri. -- Bernama
#ASP Mohd Noor Mat Yaub #Baling #kebumi #kemalangan #Suriya Abdul Rahman