Jenazah Pegawai Kedutaan Malaysia di Bangkok selamat dikebumikan
Bernama
Januari 3, 2024 00:57 MYT
Januari 3, 2024 00:57 MYT
KAJANG: Jenazah Penasihat Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) di Kedutaan Malaysia di Bangkok Fadzilah Abu Hasan selamat dikebumikan pada 9.50 malam di Tanah Perkuburan Taman Raudhatul Jannah Khariah, Kampung Limau Manis, Kajang di sini.
Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jawa, Bangkok, Thailand pada 8 pagi Isnin waktu tempatan dan tiba di sini pada kira-kira 5.30 petang sebelum disolatkan buat kali kedua di Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra di sini pada 7.45 malam.
Ratusan rakan sekerja, saudara-mara dan sahabat handai hadir di tanah perkuburan itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disifatkan sangat berdedikasi serta menjadi sumber inspirasi buat rakan-rakan kerana sikap cerianya mewujudkan suasana riang di tempat kerja.
Fadzilah, 46, dipercayai meninggal dunia ketika tidur di kondominiumnya di Bangkok pada 6 pagi Isnin waktu tempatan.
Beliau bertugas di Bangkok sejak Disember 2022 serta meninggalkan dua anak perempuan berusia 18 dan 15 tahun.
-- BERNAMA