Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Pekan

Bernama
Julai 18, 2024 10:25 MYT
Pengebumian Nur Farah Kartini, 25, dalam keadaan cuaca tenang dan berangin itu turut dihadiri ahli keluarga mangsa, rakan dan penduduk kampung. - Gambar/ Bernama
PEKAN: Jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah selamat dikebumikan pada 5.20 petang di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, di sini hari ini.
Van yang membawa jenazah bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4.55 petang selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Pengebumian Nur Farah Kartini, 25, dalam keadaan cuaca tenang dan berangin itu turut dihadiri ahli keluarga mangsa, rakan dan penduduk kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib yang mewakili kerajaan negeri turut hadir di tanah perkuburan itu.
Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, Isnin.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman sehingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#kes bunuh #Nur Farah Kartini #kebumi #tanah perkuburan